Kontroversi Kapal tempur Jerman Bismarck

Gambar Hasilan Komputer bangkai Bismarck

Ekspedisi kedua mencari Bismarck dilakukan oleh kumpulan British sebagai sebahagian daripada rancangan pelancongan ke kawasan bangkai kapal HMS Hood. Kapal HMS Hood telah dijumpai dan dirakamkan dalam filem dalam tahun 2001. Penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan British ini adalah sama ada kapal Bismarck tenggelam disebabkan oleh bedilan kapal British ataupun dilubangtenggelamkan oleh anak-anak kapal Bismarck.

Kumpulan British itu menjalankan tinjauan sonar dari mula untuk mencari tapak bangkai kapal Bismarck, berdasarkan maklumat bahawa bangkai kapal itu berada di kaki sebuah gunung berapi bawah laut. Hanya sebuah gunung berapi bawah laut berada di kawasan tersebut. Kumpulan itu kemudiannya menggunakan pesawat kawalan jauh (ROV) untuk memfilemkan keadaan luar kapal Bismarck. Kumpulan itu memutuskan bahawa Bismarck tenggelam disebabkan oleh kerosakan daripada meriam kapal-kapal dan torpedo British.

Dr. Robert Ballard mengkritik dokumentari yang dihasilkan oleh kumpulan British ini, dan menganggapkan rumusan kumpulan itu disorong oleh semangat nasionalisme dan berpandukan pendapat yang berat sebelah.

Satu ekspedisi Amerika melawat tapak bangkai Bismarck dan dengan menggunakan ROV yang lebih kecil dan mempunyai kawalan olah gerak yang lebih baik, membuat penggambaran buat pertama kali dari bahagian dalam kapal Bismarck. Ini ditayangkan sebagai satu dokumentari 1 jam di saluran National Geographic. Tinjauan oleh kumpulan Amerika ini tidak menjumpai apa-apa penembusan di bahagian kubu kota (citadel) kapal Bismarck dan hanya mempunyai 4 lubang yang terhasil disebabkan oleh peluru meriam yang kena tepat pada kapal Bismarck, tetapi lubang ini berada d atas garisan air. Kemungkinan besar 4 peluru yang kena tepat ini menyebabkan Bismarck tenggelam.

Kesan kemik di kapal Bismarck menunjukkan peluru 14 inci yang ditembak kapal HMS King George V sebenarnya melantun di atas perisai Wotan yang dipasangkan pada Bismarck. Rumusan oleh kumpulan Amerika ini bercanggah dengan rumusan yang dibuat oleh kumpulan penyiasat British. Kumpulan Amerika merumuskan bahawa Bismarck boleh terus mengapungkan diri dan mungkin akan ditawan oleh pihak British sekiranya ia tidak dilubangtenggelamkan oleh anak-anak kapalnya.

Daripada 2,876 das peluru yang digunakan untuk menembak kapal Bismarck, hanya dua butir sahaja peluru 16 inci yang menembusi perisai Bismarck. Dua butir peluru 14 inci menembusi perisai di sebelah kiri kapal. Daripada 2,876 butir peluru yang digunakan, lebih 700 butir adalah peluru 14 inci dan 16 inci, dan daripada jumlah ini hanya 4 butir sahaja yang menembusi perisai Bismarck.